Thursday, October 27, 2011

Baby bundle trend masa kini

Tarikan Baby Bundle




MENCARI kelainan dalam menjalankan perniagaan merupakan antara faktor penentu bagi menarik perhatian pelanggan.


Atas semangat mahu menjadi usahawan kreatif dan berbeza dengan peniaga-peniaga lain, pasangan suami isteri Azim Haffiz Aziz Zaman, 36, dan Nor Azura Md. Baki, 33, memberanikan diri memilih perniagaan pakai terpakai bayi (bundle), dikenali sebagai Baby Bundle sebagai teras peniagaannya.

Ketika ramai peniaga bundle cuba 'berebut' mahu menjalankan perniagaan bundle dan menyasarkan kepada umum khususnya golongan remaja, Baby Bundle berjaya mengalihkan perniagaan sedemikian kepada bayi.
Dari aksesori hingga ke pakaian semua dikhusus untuk bayi dan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.
Lebih menarik, kesemua pakaian bundle yang dijual di sini bukan sekadar cantik, tetapi ia berjenama terkenal seperti Ralph Lauren, Baby Guess, Baby Phat, Tommy Hilfiger, Harley Davidson dan banyak lagi yang tidak boleh didapati di pasaran tempatan.

Bercakap soal harga pula, kemeja-T, jean, seluar, gaun, kasut untuk bayi dan kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh diperoleh pada harga semurah RM1 serta tidak melebihi RM50.

Azim Haffiz memberitahu, idea membuka perniagaan ini timbul selepas menyedari pakaian kanak-kanak hanya dipakai dalam tempoh yang singkat kerana mereka cepat membesar. Justeru, membeli pakaian terpakai dilihat cara paling sesuai buat ibu bapa yang mahu berjimat.



"Baru sahaja dua tiga bulan beli, baju dan seluar sudah tidak muat. Jadi, terpaksalah mereka beli yang baru. Biasanya anak yang kedua atau ketiga akan memakai baju anak yang pertama.

"Jadi Baby Bundle memberi pilihan kepada pelanggan untuk memenuhi keperluan ibu bapa. Keperluan dan aksesori kanak-kanak yang dijual di pasaran adakalanya mahal. Di Baby Bundle, kami menyediakan produk kepada pengguna tanpa berbelanja besar," katanya.

Tambah Nor Azura pula, dia sudah empat tahun menjalankan perniagaan bundle, sebelum memberi tumpuan kepada pakaian bayi.

"Syukur, selepas setahun menukar konsep kepada Baby Bundle sambutan orang ramai dilihat agak memberangsangkan sehingga saya mampu menambah sebuah lagi lot kedai.

"Sekarang saya perlu menambah stok seminggu sekali bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari sekitar negeri ini dan jauh termasuk Kuala Lumpur, Melaka dan Johor," katanya.

Ketika ditanya mengenai penerimaan ramai dari segi kualiti dan kebersihan, Nor Azura memberitahu, kebanyakan pakaian yang ditawarkan merupakan bundle Gred A. Kesemua pakaian itu dibasuh sebelum dipamerkan untuk dijual.

"Kami sentiasa mementingkan kualiti. Oleh itu, setiap kali mengambil stok di Klang kami akan pastikan pakaian yang diterima tidak lusuh, koyak dan kotor."
Kini kedai dua lot itu mempunyai 8,000 jenis pakaian terpakai bayi dan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Receive All Free Updates Via Facebook.